"Assalamualaikum"...
Kedengaran suara orang memberi salam dari luar rumah. Ibu
terus menjenguk ke luar rumah kerana dia memang menantikan kedatangan tetamunya
itu.
"Waalaikumussalam", jawab mama sambil terus
mengukir senyuman apabila terpandang raut wajah tetamunya itu.
"Masuk Qis, masuk", jemput Ibu sambil menyambut salam yang
dihulurkan oleh Qisya.
"Ibu sorang je ke? yang lain mana?", tanya Qisya
sambil melangkah masuk ke dalam rumah teres setingkat itu. Bukan dia tidak
biasa ke rumah itu, dulu boleh dikatakan setiap minggu dia akan berkunjung ke
rumah itu, tetapi sekarang keadaan telah berbeza.
"Si adik belum balik lagi, ada kelas tambahan katanya.
rindunya Ibu pada kamu Qis. kenapa dah lama tak datang jenguk Ibu? sampai hati
kamu" ujar Ibu. Ibu bukan tidak tahu keadaan sekarang yang telah berubah,
tetapi hati ibunya masih tidak dapat melupakan gadis yang baik dan tinggi budi
bahasanya ini.
"Qis sibuklah bu kebelakangan ini, banyak kerja,
kursus lah, maafkan Qis ye Ibu", jawab Qisya tersenyum.
mama memandang Qisya dan tersenyum, 'hai kenapalah Kamal tu
buta sangat, budak ni punyalah baik, tak faham aku' bisik Ibu dalam hati.
"Qis tak boleh lama bu, dah janji dengan kawan tadi
nak ambil dia lepas ni", sebenarnya dia tidak mahu bertembung dengan Kamal
kerana sebentar lagi Kamal pasti akan pulang. Ya, dia tahu akan waktu kerja
Kamal.
"Ibu dah masak bubur pulut hitam untuk Qis, Qis kan
suka bubur tu kan? So, kita makan dulu ye" kata Ibu seakan memujuk.
"erm.. baiklah bu", Qisya tidak mahu menghampakan
perasaan ibu itu.
---------------------****-------------------
"Kalau dah macam tu keputusan awak, saya terima.
siapalah saya untuk membantah", ujar Qisya dengan tenang walaupun dalam
hatinya penuh dengan rasa kecewa dan sedih.
"Ok, kalau macam tu esok saya suruh mama dengan ayah
datang rumah untuk bincang hal ni", ujar Kamal dan terus berlalu
meninggalkan Qisya keseorangan.
Tadi Qisya baru berasa sangat bahagia kerana dia akan
keluar bersama tunangnya, angannya untuk membeli barangan perkahwinan mereka
yang tidak berapa lama lagi akan berlangsung. Akan tetapi impian dan
senyumannya musnah apabila Kamal membawanya ke taman ini hanya untuk mengatakan
bahawa dia ingin memutuskan tali pertunangan mereka dan menyuruh Qisya untuk
melupakannya.
Qisya duduk termangu keseorangan di taman itu dan tiba-tiba
tersentak apabila mendengar suara Kamal menjerit memanggil namanya.
Diseka air mata yang mengalir dan terus melangkah dengan
senyuman.
--------------*****-------------
Qisya melangkah dengan penuh yakin dan pasti ke arah rumah
itu. Walaupun sebelum ini ramai yang menghalang akan kehadiranya untuk ke sana.
Bahkan Ibu sendiri menghalangnya untuk datang ke rumah itu.
"Ni kad undangan kami, jemput tau datang. Kalau datang
bawalah hadiah besar sikit", kata Ummu sambil memeluk erat lengan Kamal
dan menghulurkan kad undangan tersebut kepada Qisya. Qisya menyambutnya dengan
senyuman dan berkata "Insya Allah, kalau diberi keizinan saya akan datang,
apa-apa pun tahniah ye". Qisya membuka sampul kad yang diberikan selepas
keduanya pulang dengan berhati-hati. Hatinya tersentuh apabila terpandang akan
warna dan bentuk kad yang berada dalam tangannya, bentuk dan warna yang sama dia
pilih untuk majlis perkahwinannya dengan Kamal dulu.
Kenangan itu terimbau kembali. 'Ya Allah, Allahuakbar! kau
kuatkanlah hatiku ini' bisik Qisya tanpa disedari ada titis air mata yang jatuh
di atas pipinya. Qisya terus mengelap air matanya sebelum terlihat oleh orang
lain dan melangkah penuh yakin beserta senyuman yang terlukis di bibirnya.
"Assalamulaikum Ibu, adik!" sapa Qisya selepas
terpandang Ibu dan Aini di ambang pintu gerbang perkahwinan.
"Wa'alaikum...mussalam", jawab Ibu, Ibu terpana
apabila terpandang wajah Qisya.
"Shhh... Ibu jangan cakap apa-apa, Qis datang bukan
nak memporak perandakan majlis ni, Qis datang hanya sebagai kawan dan sekadar
memenuhi undangan. Ibu jangan risau ok?" pintas Qisya sebelum sempat Ibu
membuka mulut.
Ibu terus memeluk Qisya dan menangis dibahu gadis itu,
"Maafkan Ibu sayang, Ibu tak mampu lakukan apa-apa untuk kamu, Ibu pun tak
tahu kenapa dan bagaimana dia boleh jadi macam tu, maafkan Ibu sayang"
esak Ibu di bahu Qisya. Dia sudah tidak memperdulikan lagi orang disekeliling
dan terus memeluk erat Qisya. Dia sebenarnya terperanjat apabila Kamal
menyuruhnya dengan ayah untuk pergi ke rumah Qisya dan memutuskan pertunangan
mereka. Puas sudah dia membantah dan bertegang urat dengan Kamal tetapi segala
nasihat dan tegurannya tidak diperdulikan. Bahkan teguran ayah juga tidak
langsung dihiraukan.
"Syhhh... Ibu, malu kat orang lah, apa ni dah pakai baju
cantik-cantik, menangis pula, tak cantiklah mak pengantin macam ni" kata
Qisya sambil melepaskan pelukan. Dia tidak mahu terus hanyut kerana dia takut
benteng kesabaran yang dibina akan larut bersama air mata Ibu.
-------------*****--------------
"Kau memang muka tak malu kan perempuan?Apa kau tak
laku sangat ke sampai laki orang pun kau nak kebas ha?" marah Ummu sambil
terus mencampakkan segelas air ke arah Qisya.
Ummu berasa marah apabila dia terpandang suaminya dan Qisya
duduk berdua-duaan makan di restoran itu. Hatinya panas, dia berasa tercabar.
Patutlah dia rasa berat hati untuk ke restoran itu setelah pulang dari pergi
membeli belah tadi.
"Awak ni kenapa
Ummu? Apa masalah awak sebenarnya?" tengking Kamal kepada isterinya itu,
terasa kesal dengan perbuatan isterinya yang menuduh tanpa usul periksa.
"Oh.. abang pun sekarang dah pandai nak tengking saya ye? Ni mesti perempuan ni lah yang
menghasut ni. Eh perempuan, apa yang kau bagi dekat laki aku ha? Kau pakai ayat
apa ha?" Ummu terus menyerang Qisya, Qisya hampir jatuh terduduk di atas
lantai apabila ditolak oleh Ummu dengan kasar. Nasib baik dia sempat berpaut
pada meja makan.
"Awak memang dan melampau lah" tengking Kamal
sambil mengangkat tangannya untuk menampar Ummu tetapi segera dihalang oleh
Qisya. "Kamal... jangan kamal, dia tengah marah, kalau api dilawan dengan
api kan jadi makin besar" kata Qisya perlahan. "Mari kita duduk dulu
dan kita bincang sama-sama, hal ni tak seperti yang awak bayangkan Ummu",
ujar Qisya tenang sambil menarikkan kerusi untuk Ummu. Habis basah bajunya
kerana disimbah air tadi oleh Ummu.
"Ah.. tak kuasa aku nak duduk semeja dengan perempuan
jijik macam kau nie, lepas satu jantan, jantan lain pulak kau tukar-tukar, ni
laki aku pulak kau nak mengendeng, apa jenis perempuan lah kau ni? Puiihh..
jijik aku", maki Ummu kepada Qisya.
Qisya terpaku, terpana dan tergamam apabila dikatakan
begitu. 'Sehina itukah aku? Ya Allah jika benar sehina itu hambaMu ini, aku
bermohon Ya Allah Kau ampunkanlah hambamu ini' bisik hati kecil Qisya. "Kau
memang dah melampau, mari ikut aku Ummu", Kamal sudah tidak sanggup lagi
untuk berhadapan dengan situasi itu, dia terus menarik tangan isterinya untuk
keluar dari restoran itu.
Qisya hanya mampu memandang kelibat kedua-duanya sehingga
hilang dari pandangan. Qisya termangu dan terduduk keseorangan di restoran itu
sambil beristigfar.
Azma yang baru keluar dari bilik air kelihatan kaget dengan
peristiwa yang berlaku di hadapan matanya. Dia amat terkejut dengan tuduhan
yang dilemparkan isteri Kamal kepada Qisya, belum sempat dia ingin pergi ke
meja mereka itu, Kamal sudah menarik isterinya keluar dari restoran.
"Jom, aku nak pergi cakap dengan perempuan tu tadi,
suka hati sesedap rasa je dia cakap kau macam tu", kata Azma apabila
sampai ke meja yang diduduki Qisya itu.
Qisya yang terkejut dengan reaksi rakannya itu segera
menghalang, "Eh, janganlah Azma, jangan keruhkan lagi keadaan".
"Habis kau nak biarkan je dia hina kau macam tadi tu?
Aku tak sanggup Qisya dengar orang hina kau sampai macam tu, kalau betul tak pa,
nie langsung tak betul, kau bukan berdua je dengan Kamal tu, aku ada
sekali" protes Azma tidak puas hati.
"Bukan biarkan, tapi kau tengok sendiri kan, dia
tengah marah, kalau kita cakap apa-apa pun kau ingat dia nak percaya? Nak
terima bulat-bulat?" kata Qisya mempertahankan keputusannya sambil
tersenyum.
Azma terdiam sejenak, berfikir. 'Benar juga apa yang
dikatakan oleh Qisya, kalau aku beritahu pun untung-untung dengan aku pun kena
hambur sekali'. "Tu lah kau, pergi toilet lama sangat, entah apa yang
dibelek agaknya", gurau Qisya terus ketawa. Azma sangat kagum dengan
rakannya itu, baru sebentar tadi dia dimaki, dihina sekarang dia masih lagi
boleh ketawa. 'Tabah sungguh hatimu wahai sahabat'.
----------***-----------
Bayangan gadis itu terus terbayang-bayang di minda Reza.
Walaupun dimaki dan dihina, gadis itu kelihatan tenang. Ada sesuatu dalam diri
gadis itu, ya, aku yakin dia bukan seperti yang diperkatakan.
Seminggu yang lalu semasa sedang makan tengah hari bersama
Adha, mereka sempat menyaksikan satu 'drama' di restoran tersebut. Segala butir
bicara yang keluar dari 'drama' itu dapat didengari dengan jelas kerana meja
mereka tidak jauh dari tempat drama tersebut berlaku.
'Ahhhh... apa kena dengan aku ni? Kenapa wajah dia yang
asyik aku bayangkan? Semua tu tak penting Reza, yang penting sekarang kerja kau
yang berlambak ni siapa yang nak buat?' bentak Reza dalam hati.
"Hooiiii!!" Reza tersentak, merah padam mukanya
apabila disergah begitu. Kelihatan Adha sedang tersengih melihatnya.
"Kau ni orang Islam ke tak? Tahu adab ke tak? Kenapa
tak ketuk pintu? Bagilah salam kot ye pun, ni main sergah-sergah je" marah
Reza.
"Wo...wo..wo... ni betul ke Reza ni?" kata Adha
sambil melambai-lambaikan tangannya di hadapan Reza.
"Sejak bila pula aku pandai ketuk pintu bila masuk
bilik kau? Aku dah panggil kau 1000 kali tahu tak? Mesti kau tak tahu sebab kau
tak dengar, tu sebab aku sergah biar kau bangun", Adha mempertahankan
tindakannya.
'Betul jugak, aku pun tak perasan bilanya yang dia duduk
depan meja aku ni. Hai.. penangan gadis berkurung ungu betul lah' bisik hati
Reza.
"Hah.. tengok, penatlah aku membebel, kau berangan
lagi, siap senyum-senyum lagi, kang aku sergah lagi kau melenting pula"
Adha perasan akan perubahan Reza. Sahabatnya tidak pernah begini, selalunya
dialah insan yang fokus apabila bekerja. Kalaulah kerja ni orang, kerja ni dah
boleh jadi bini dia. Mana-mana pun pergi yang ada dalam otaknya hanyalah kerja,
kerja dan kerja.
" Erm.. ada apa Ha?" tanya Reza untuk mengelak
daripada terus ditanya oleh Adha.
" Nie, laporan yang kau minta tadi" kata Adha
sambil menghulurkan sebuah fail berwarna kuning kepada Reza. Reza menyambut dan
terus menelitinya, Adha meminta diri untuk menyambung tugasnya semula. Selepas
pintu ditutup, Reza terus mencampakkan fail itu ke atas meja dan fikirannya
terus melayang kepada gadis berkurung ungu tersebut.
------****-----
Renungan terus dilemparkan kearah satu sudut. Kelihatan
gadis yang memakai baju kurung berwarna oren bersama seorang lagi yang memakai
kurung berona hijau. Mata Reza hanya tertumpu pada gadis yang menjadi igauannya
sejak 2 bulan yang lepas. Semenjak itu, dia telah menjadi pelanggan tetap di
restoran tersebut dengan harapan dia akan berjumpa dengan gadis idamannya itu.
“Alhamdulillah, termakbul gak doa aku hari ini” bisik Reza.
‘Hai.. no wonder lah kawan aku nie angau separuh mati,
memang cantik gadis tu’ bisik Adha dalam hatinya.
“Ha.. apa lagi Za, nilah peluang kau kalau nak berkenalan
dengan dia, kalau tak bila lagi?” ujar Adha menyebabkan Reza tersentak dalam
khayalannya.
“Alah.. seganlah aku Ha, takkan tiba-tiba aku nak pergi
dekat dia then cakap, cik..cik.. cik siapa nama? Nombor telefon berapa? Saya
nak berkenalan boleh?. Gila apa kau?” sangkal Reza.
Adha ketawa terbahak-bahak melihat telatah sahabatnya itu.
Beberapa pasang mata melihat mereka termasuk gadis idaman Reza. Tetapi gadis
idaman Reza itu hanya memandang dan mengukirkan senyuman. Reza terpana dengan
senyuman semanis itu. Kalau kena kencing manis pun takpa asalkan aku boleh
tengok senyuman ini hari-hari.
“Woi.. kau ni pada lah Ha nak gelak pun, kan ke semua dah
pandang kita, malu lah kat orang” bantah Reza.
“Aku memang saja nak tarik perhatian dia. Tunggu jap dekat
sini, aku ada kerja nak buat kejap” kata Adha sambil terus bangun dari
kerusinya dan berjalan ke arah gadis itu.
Setelah beberapa ketika, Reza melihat Adha telah duduk
semeja dengan mereka dan berbual-bual sebentar, sesaat kemudian kesemua mata
yang berada di meja itu tertumpu pada Reza. Reza menggelabah, serba tak kena
tetapi dia tetap mengukirkan senyuman apabila terpandang gadis idamannya
tersenyum sambil menganggukkan kepalanya sedikit.
‘Ha, apalah yang kau buat dekat situ?’ bisik Reza dalam
hatinya.
“Ok.. my job was done! Now, it’s all up to you how to
make it real” kata Adha apabila duduk semula dihadapan Reza sambil
menghulurkan sekeping kad nama kepadanya. Reza menyambut dan sesaat kemudian
dia merenung muka Adha seperti tidak percaya dengan apa yang dilihat. Adha
kelihatan tersengih yang menampakkan giginya sambil mengangkat-angkat keningnya
berkali-kali. Reza ikut tersenyum kemudian. Hatinya girang.
----------****---------
Reza tidak sabar untuk berjumpa dengan pujaan hatinya.
Sudah setahun sejak perkenalannya secara rasmi bersama Qisya. Banyak yang dia
sudah tahu tentang wanita itu. Dia rasa sangat beruntung dapat berkenalan
dengan Qisya. Perkenalan yang pada mulanya atas alasan kerja telah menjadikan
mereka semakin rapat. Mulanya agak sukar untuk Reza mendekati wanita itu tetapi
dengan semangat dan kesabaran yang tinggi akhirnya Qisya menjadi miliknya.
“Hai.. ada datinglah tu ye nak cepat-cepat ni? Kalau tak, kau
tak ingat dah waktu makan ke, waktu tidur ke”, kata Adha sebaik dia melangkah
masuk ke bilik Reza. Reza hanya memandang sahabatnya itu dengan sengihan di
bibirnya. Dia sangat bersyukur kerana mempunyai rakan sebaik Adha, kerana Adha
lah dia dapat berkenalan rapat dengan Qisya. Teringat peristiwa setahun yang
lalu, sewaktu pertama kali dia bersua muka secara dekat dengan Qisya.
“Qis, you got a job. Perkenalkan nie Encik Khairil
Reza dari Infiniti Holding, dia nak upah interior designer untuk projek terbaru
syarikatnya”, kata Encik Ismail sebaik melangkah masuk ke dalam ke bilik Qisya.
“Encik Reza, ni Qisya interior designer yang paling sesuai
untuk mereka konsep yang encik inginkan”, Encik Ismail perkenalkan Qisya kepada
Reza pula.
Qisya memandang Reza dengan senyuman dan mengangguk sedikit
kepalanya. Sebelum kebiliknya tadi Encik Ismail sudah beritahu kepada Reza
bahawa Qisya tidak akan bersalaman dengan lelaki yang bukan mahram. Dia sangat
menjaga batas-batas pergaulannya. Reza merenung wanita idamannya.
“Ok, kalau tiada apa-apa lagi saya minta diri dulu, kamu
berdua boleh lah berbincang”, kata Encik Ismail dan melangkah keluar selepas
berjabat tangan dengan Reza dan membalas ucapan terima kasih Reza.
“Ok.. should we start Encik Khairil Reza?” Qisya memulakan
bicara.
“Ok..ok.. no problem, but just call me Reza, nice to meet
you Cik Qisya”, kata Reza
“Qis, just Qis, ok, please have a sit Encik.. er.. Reza”,
kata Qisya sedar akan kesilapannya.
“Ok.. encik nak konsep yang bagaimana?”, Qisya memulakan
perbincangan dan mereka berbincang tentang projek bersama. Reza mengambil
kesempatan untuk merenung dan meneliti wanita idamannya itu. ‘Kau bukan saja
cantik luaran tetapi dalaman kau juga lagi cantik’, bisik Reza sambil tersenyum
panjang.
----------****------------
Qisya rimas, tidak tenteram dan risau. Dia khuatir dengan
pengakuan yang baru didengarnya tadi. ‘Apa yang patut aku buat? Tak boleh macam
ni, tak boleh’ bisiknya dalam hati.
“Tolong Qis, saya betul-betul ikhlas, saya dah tak sanggup
lagi untuk terus hidup dengan orang lain tapi saya hanya terbayangkan awak
saja”, rayu Kamal.
“Bawa mengucap Kamal, jangan macam ni, awak dah ada isteri,
nanti kalau dia dengar apa yang awak cakap ni kecil hati dia”, kata Qisya cuba
menasihati Kamal.
Dia bingung dengan sikap Kamal yang tiba-tiba mengajaknya
untuk keluar makan tengahari bersama. Mulanya dia keberatan kerana takut akan
mengundang fitnah tetapi selepas didesak dan dipujuk oleh Kamal, Qisya akur
tetapi dengan syarat dia akan membawa Azma bersama.
“Saya sedar dulu saya bodoh sebab tinggalkan awak, saya
menyesal Qis, saya menyesal sangat, tolonglah Qis terima saya semula, saya dah
tak tahan lagi hidup dengan Ummu, dia tak pernah percayakan saya, hidup saya
terkongkong, tertekan. Dia tak sama dengan awak Qis, saya nak awak semula Qis”,
rayu Kamal lagi. Dia seperti sudah hilang akal, tidak memperdulikan lagi segala
patah kata yang keluar dari mulutnya. Yang dia mahukan sekarang hanya Qisya, ya,
dia hanya mahukan Qisya kembali ke pangkuannya. Dia tidak sanggup melihat Qisya
bersama lelaki lain. Lelaki yang pernah dia jumpa dulu yang kelihatan sangat
mesra bersama Qisya. Qisya hanya milik aku seorang, hanya aku, katanya.
“Astagfirullah al azim, istigfar Kamal, awak tak boleh
cakap macam tu. Apa-apa pun Ummu tu masih isteri awak”, balas Qisya.
“Saya boleh ceraikan dia kalau itu yang awak nak, saya
sanggup buat apa saja asal awak kembali semula pada saya Qis” kata Kamal
bersungguh-sungguh. Matanya besinar-sinar seperti ada harapan untuk dia
mendapatkan Qisya semula.
Bulat mata Qisya mendengar pengakuan Kamal itu, “Ya Allah
Kamal, kenapa dengan awak ni? Bukan itu maksud saya. Saya takut dengan hukum
Allah. Saya takkan runtuhkan masjid yang orang bina. Jangan macam ni Kamal.
Saya rasa baik awak balik dulu, tenangkan fikiran awak, buat solat sunat,
dekatkan diri dengan Allah. Insya Allah, masa tu nanti awak boleh fikir dengan
tenang. Sekarang awak tengah kusut, jangan ambil tindakan masa awak tengah
macam ni, nanti awak sendiri yang menyesal. Saya minta diri dulu, Assalamualaikum”,
Qisya terus bangkit dari kerusinya, dia menarik tangan Azma yang dari tadi
hanya bertindak sebagai pemerhati.
Kamal termangu, dia sangat kecewa dengan keputusan Qisya.
Dia telah ditolak mentah-mentah.
‘Walau macammana pun, kau tetap akan jadi milik aku Qis,
tetap’, bisiknya dalam hati. Apa yang dirancang hanya Kamal sahaja yang tahu.
-------****-------
Reza tidak senang duduk, sekejap dia berdiri, sekejap dia
duduk. Fikirannya tidak dapat fokus pada pekerjaannya. Dia rasa marah, geram,
tertipu, dikhianati, tak percaya, sayang. Semua perasaan ini bercampur baur.
Reza tidak boleh bertahan lagi, terus dia menghayunkan langkah untuk ke bilik
Adha. Hanya Adha saja yang dapat membantunya sekarang.
“Masuk”, terdengar suara menyambut dari dalam setelah Reza
mengetuk pintu yang tertera nama Mohd Adha.
“Hai, sibuk sangat kr sampai tak sempat nak pandang siapa
yang datang?”, ujar Reza sebaik melangkah masuk kebilik Adha. Dia terus duduk
di kerusi yang berhadapan dengan Adha.
Adha mengangkat wajah, segera segaris senyuman terbit dari
bibirnya apabila terpandang wajah Reza dihadapan mata. Fail-fail yang sedang
diteliti tadi ditutup.
“Kenapa dengan muka kau ni? Macam ayam berak kapur je aku
tengok, kau ada masalah ke?”, tanya Adha. Tetapi Reza masih membisu.
Pandangannya dibuang keluar tingkap Adha yang menampakkan pemandangan bandar
raya.
“Kenapa ni Reza? Ceritalah pada aku”, pujuk Adha lagi.
Tiada jawapan. Adha buntu. Dilihat sahabat baiknya dari sekolah menengah itu
seperti sedang dalam masalah yang besar. Mukanya keruh, tiada senyuman yang
biasa terlukis diwajahnya apabila mereka bersama.
“Za, kau kenapa?”, ujar Adha lagi sudah berbaur geram. Reza
seperti terbangun dari mimpi yang panjang. Dialih pandangannya ke arah muka rakan
baiknya itu. ‘perlu ke aku beritahu pada Adha?’ bisik hati kecilnya.
“I’m still waiting. Jangan sampai aku bosan dah
lah”, ujar Adha sudah tidak sabar dengan kebisuan sahabatnya itu.
“Qisya Ha, Qisya”, Reza terhenti, seperti ada sesuatu yang
menyekat kerongkongnya untuk terus bersuara. Tiba-tiba dia menjadi sebak.
“Kenapa dengan Qisya?”, tanya Adha tidak sabar.
“Aku tak sangka dia buat aku macam ni, aku betul-betul tak
sangka. Patutlah malam tadi aku ajak dia keluar dia tak nak, ada hal
katanya, rupanya dia keluar dengan jantan lain. Aku betul-betul tak sangka Ha
dia buat aku macam ni, aku rasa betul-betul tertipu. Aku rasa aku bodoh sebab
sayang dia separuh mati kau tau?”, luah Reza tanpa selindung. Riak kekecewaan
jelas terpancar di wajahnya.
“Jap-jap, aku tak faham. Apa maksud kau ni?” soal Adha,
mukanya jelas keliru.
“Dia curang dengan aku Ha, dia ada lelaki lain”, nada suara
Reza tersekat-sekat. Dia kecewa benar.
“Op..op.. nanti jap, mana kau dapat cerita ni?”, tanya Adha
lagi. Dia sebenarnya tidak percaya yang Qisya jenis wanita yang sebegitu.
Sepanjang perkenalannya dengan Qisya walaupun melalui Reza dia dapat lihat
bahawa Qisya merupakan wanita soleha. Pandai membawa diri, menjaga batas
sebagai seorang muslimah, sopan santun dan berhemah tinggi.
Reza mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya. Dicampaknya
sampul surat itu ke atas meja Adha. Hanya isyarat mata yang mengarahkan Adha
untuk membukanya. Nak tersembul biji mata Adha apabila melihat gambar-gambar
tersebut, ‘Betul ke ni?’ bisik Adha dalam hati.
“Mana kau dapat ni Za? Kau dah tanya Qis dulu?”, soal Adha.
“Kalau tanya kau ingat dia nak mengaku ke? Pagi tadi aku
dapat kiriman dari Nani, aku buka tu yang aku nampak, kecewa aku Ha, kecewa”,
luah Reza lagi. Dia meraup mukanya beberapa kali. Kusut.
“Kau tak boleh percaya macam tu je Za, kau kena tanya Qis
dulu, jangan main tuduh melulu, nanti kau yang susah. Mesti ada penjelasan yang
wajar disebalik gambar-gambar ni” nasihat Adha, ditelek sekali lagi
gambar-gambar yang masih berada dalam tangannya, kelihatan gambar Qisya bersama
seorang lelaki yang kelihatan sangat mesra. Qisya dilihat sedang memaut lengan
lelaki tersebut sambil tersenyum gembira. Digambar yang lain kelihatan lelaki
tersebut menyuapkan aiskrim kepada Qisya. Mereka kelihatan bahagia. ‘Siapakah
lelaki ini?’, bisik Adha.
“Kau nak aku tanya apa lagi? Semua dah jelas, dia main
jantan lain belakang aku, aku rasa sampai sini je hubungan aku dengan dia, aku
benci dengan perempuan curang! Aku dah serik kena tipu Ha, aku serik!” bentak
Reza tiba-tiba.
-------****-----
Sakit, perit, kecewa, semua itu ditanggung oleh Qisya
sendiri. ‘Aku percaya, setiap yang Kau berikan pasti ada sebab dan hikmahnya Ya
Allah. Mungkin ini adalah balasan kepada dosa-dosa yang pernah aku lakukan tanpa
aku sedari. Ampunkan aku Ya Allah’ bisik Qisya. Qisya tidak menyangka, dia akan
dikecewakan untuk kali kedua. Insan yang disangka bakal menjadi Imam dalam
hidupnya, yang muncul dalam istikharahnya ternyata bukan Reza. Dia redha dengan
keputusan yang diterima daripada Reza tadi.
“Hubungan kita sampai sini, saya tak sanggup lagi ditipu
dan dibodohkan oleh perempuan yang luaran saja nampak baik, tapi hatinya busuk”
ujar Reza.
Qisya masih berteleku di atas tikar sejadahnya. Dari tadi
air mata seakan tiada tanda untuk berhenti mengalir, dalam kepasrahan tetap ada
kesedihan, dalam keredhaan tetap terselit sedikit kekecewaan. Tapi Qisya yakin
dengan mengadu kepada Yang Esa adalah jalan yang terbaik.
Tok..tok..tok..
Kedengaran pintu biliknya diketuk. “Sayang, mari makan.
Semua dah tunggu Qis di meja tu” kedengaran suara mama diluar pintu.
“Makan lah dulu ma, Qis tak rasa nak makan lagi, Qis ada
kerja sikit nak buat ni” sambut Qisya.
“Tapi papa dah tunggu tu sayang, marilah Qis, kita makan
sama-sama ye sayang” pujuk mama lagi.
“Qis belum lapar mama, nanti bila lapar Qis makan ye, mama
makanlah dulu, kesian papa tunggu tu” ujar Qisya dari dalam.
Maaf mama, bukan Qis bermaksud untuk biadap, tapi Qis masih
belum mampu berhadapan dengan semua.
“Qisya Umairah, buka pintu ni” terdengar suara garau papa
disebalik pintu.
Qisya buntu, dia tahu dia tiada pilihan lain selain membuka
pintu. Perlahan langkah Qisya ke pintu, daun pintu diselak, terdampar di
pandangan wajah papa, mama dan Qairul Umar.
Qisya merenung, memandang muka seorang demi seorang, terasa
seperti sesuatu yang menyesakkan nafas, terus didakap papanya dan dihamburkan
segala keperitan dan kesedihan di dada bidang itu.
“Maafkan adik papa, adik belum kuat, adik tak kuat. Adik
tak boleh tipu perasaan sendiri” esak Qisya di pelukan papanya. Pelukan
dirasakan semakin erat, mama mendakap dari sisi yang berlainan.
“No.. anak papa dan mama kuat, adik Qirul Umar ini tabah,
mama tahu, adik pasti boleh hadapi semua ini. Qisya Umairah seorang yang tabah,
kuat, cekal.. kan?” bisik mama ke telinga Qisya.
“Sayang masih ada papa, masih ada mama, masih ada abang
yang sangat-sangat menyayangi adik, Ppa pun yang berlaku kami pasti akan
menyokong kamu sayang” bisik papa pula.
Esak Qisya semakin kedengaran, dia terus hanyut dalam
pelukan papanya. Qairul Umar yang menjadi pemerhati dari tadi menyimpan sesuatu
dalam dirinya. ‘siapa yang berani melukakan hati adik kesayangan aku ni? Aku
akan cari kau sampai hujung dunia’ bisiknya dalam hati.
-----*****-----
“Papa kata jangan, janganlah Qairul Umar” ujar papa dalam
nada yang tegas. Pandangan tajam anaknya yang tidak berpuas hati dengan
keputusannya seperti tidak dihiraukan. Dia tahu anaknya itu marah dengan
perkara yang berlaku kepada adiknya. Tapi sikap marah itukan sifat syaitan,
mengapa perlu Qairul Umar bersifat demikian?.
“Dah tu, papa nak biarkan je adik macam tu? Abang tak
sanggup tengok satu-satunya adik abang kena hina macam tu. Abang tak sanggup
papa!!” bentak Qairul.
“Jadi, kalau kamu pergi jumpa dengan Reza, pergi marah dia,
hina dia tak ke sama saja sikap kamu dengan dia? Menghina sesama saudara?” papa
berkata tenang.
Qirul terdiam, bingung. Lalu dia duduk berhadapan papanya.
“Dah tu, papa nak abang buat apa?” soal Qirul.
“Tak payah buat apa-apa, perkara dah berlaku, bersedia
untuk tempuh masa hadapan saja” kata papa sambil menutup buku yang dibaca dari
tadi.
------****------
‘Lelaki itukah yang ada dalam gambar? Betulkan lelaki itu?’
soal Adha sendiri. Dia terserempak dengan lelaki itu di Mid Valley tadi, tetapi
lelaki itu bersama perempuan lain yang dia yakin perempuan itu bukan Qisya. Dia
hanya memandang lelaki itu bersama seorang perempuan yang kelihatan manis
dengan ciri muslimah yang tinggi.
‘Siapa sebenarnya lelaki ini?’ bisik Adha lagi.
--------****------
“Ibu tak sangka kamu berkelakuan begini Qis. Kenapa Qis?
Kenapa kamu buat ibu macam ni? Kenapa perlu hancur dan musnahkan masa depan
orang lain? Kenapa Qis? Ibu sungguh tak sangka”.
Kata-kata ibu terngiang-ngiang di telinga Qisya. Tadi dia
mendapat panggilan daripada ibu. Hatinya gembira, rindunya menggebu, tetapi ibu
terus berkata begitu. Qisya keliru, tidak mengerti, tetapi dia tidak menjawab
walau sepatah. Hanya permohonan maaf yang dia pinta andai benar dia bersalah.
Ibu tidak menghiraukannya, ibu terus meletakkan gagang telefon tanpa sempat
Qisya mengucapkan salam.
‘Allah, dugaanMu terasa berat untuk dipikul, tetapi aku redha
dengan ketentuanMu Ya Allah.
-----****-----
“Awak jangan macam ni Kamal. Walaupun saya sudah tidak
bersama Reza, saya tetap tidak boleh terima awak, maafkan saya” ujar Qisya.
Dia terserempak dengan Kamal semasa dia melangkah ke kedai buku
itu. Tapi dia dapat rasakan yang pertemuan itu bukan secara kebetulan, dia tahu
Kamal mengekorinya selepas dia sudah beberapa kali menolak untuk berjumpa
dengan Kamal apabila diajak.
“Kenapa Qis? Apa kurangnya saya? Saya tahu awak masih
sayangkan saya, lagipun awak dengan lelaki tu dah takda apa-apa, awak dah bebas
sekarang”, kata Kamal separuh merayu.
Qisya rimas dengan situasi itu, dia segera melangkah keluar
dari kedai itu tetapi terus diekori oleh Kamal.
“Tolonglah Kamal, tolong jangan ganggu saya lagi, saya tak
mungkin akan terima awak semula. Maafkan saya, biarkan saya jalani hidup saya
sendiri”. Kata Qisya. Dia terus melangkah laju meninggalkan Kamal. Tapi langkah
yang dihayun terhenti separuh jalan apabila dia terpandang Reza dihadapannya.
Matanya seakan terpaku, mulutnya terkunci. Hatinya merasakan sesuatu iaitu
rindu. Ya, dia amat merindui jejaka yang berada di hadapannya sekarang.
Tiba-tiba Kamal muncul entah dari mana, terus dia menyambar tangan Qisya. Qisya
terpana sebelum terus menarik tangannya. ‘Nasib baik beralas dengan lengan
baju’, bisik Qisya.
“Kenapa awak ni? Lepaskan tangan saya!”, marah Qisya.
“Tolong Qis, jangan buat saya macam ni, saya memang
betul-betul sayangkan awak, jangan tinggalkan saya” rayu Kamal. Dia melutut
dihadapan Qisya.
Qisya terkejut, buntu. “Apa yang awak buat ni? Bangunlah
Kamal, malu orang tengok”
“Saya takkan bangun selagi awak tidak menerima saya?” rayu
Kamal lagi tidak berputus asa.
Reza memandang dengan pandangan marah, dia bukan ke sini
untuk melihat aksi rayu-merayu. Meluat dia melihat adegan itu.
“Saudara pun dah kena tipu dengan perempuan ni ke? Saya
nasihatkan saudara, janganlah merayu dengan perempuan macam ni, luaran saja
nampak baik, alim, tapi sebenarnya dia busuk, kotor. Carilah perempuan lain
saudara”, kata Reza tiba-tiba.
Qisya terkejut, rasa seperti mahu menangis tapi ditabahkan
hatinya.
“Ni lelaki mana pula yang kau nak tinggalkan? Dah dapat
jantan lain, yang dulu kau tinggalkan. Ni jantan keberapa pula? Apa jenis
perempuan lah kau ni? Terdesak sangat ke dengan lelaki kau ni ha?” peril Reza
pula kepada Qisya.
Qisya sudah tidak berdaya, terasa seperti kakinya sudah
tidak jejak di atas lantai, Kamal sudah berdiri, ‘umpan aku sudah mengena’
bisik hati kecilnya.
Qisya ingin melangkah, dia sudah tidak sanggup lagi untuk
menerima hinaan. Belum sempat langkah kedua diambil, terasa tangannya direntap
dan satu tamparan tepat mengenai pipi kanannya.
“Perempuan tak sedar diri, jijik, kotor, peruntuh rumah
tangga orang. Apa yang kau buat ni ha? Perempuan tak tahu malu” Serangan tanpa
persediaan diterima oleh Qisya. Habis mukanya menjadi sasaran tamparan yang
seperti tidak berpenghujung. Ibu hanya menjadi pemerhati.
“Banyak lagi jantan lain kenapa laki aku juga yang kau nak?
Kenapa ha perempuan? Dia dah tak ingin dengan kau dulu, sekarang pun dia tetap
tak ingin dengan kau, kolot!”, marah Ummu lagi. Dia sudah seperti hilang akal,
yang dia tahu dia seperti ingin membunuh saja perempuan yang sudah terduduk di
hadapannya itu.
“Ibu tak sangka kamu boleh bertindak begini Qis, ibu
betul-betul tak sangka”, esak Ibu pula. Qisya seakan tidak berdaya, dia
membiarkan saja dirinya ditampar dan disepak oleh Ummu.
Reza seperti tidak sampai hati melihat adegan itu, memang
dia marah dengan Qisya, tapi jauh disudut hatinya, dia masih menyayangi wanita
itu.
“Puan, jangan buat begini puan, besabar puan” kata Reza
sambil cuba untuk menghalang Ummu dari terus menyerang Qisya.
“Kau jangan masuk campur, ini bukan urusan kau,
entah-entah, kau mangsa dia tak? Kau nak ke dengan perempuan yang macam ni?
Kotor, entah dah berapa orang jantan yang dia layan. Kau nak ke ambil sisa
orang? Buka mata tu sikit, mak bapak dia tak ajar agaknya anaknya sampai jadi
mcam ni?” maki Ummu lagi tiada kesudahan.
“Ummu, sudahlah, jangan pukul lagi” kata Ibu pula.
Tiba-tiba Qisya bangun, berdiri tegak merenung ke arah
Ummu.
“Assalammualaikum, Ummu, saya boleh terima kalau awak mahu
menghina atau memaki saya, silakan. Tapi jangan sekali-kali melibatkan ibu bapa
saya, mereka tiada kena mengena dengan hal ini. Maafkan saya kerana kasar
berbicara, tapi saya paling pantang kalau ibu bapa saya dilibatkan dalam hal
yang mereka tiada urusan. Kalau awak sudah puas, saya minta diri dulu,
assalamualaikum”, kata Qisya sambil terus melangkah pergi meninggalkan empat
insan yang menyimpan perasaan masing-masing. Marah dan benci, kesian dan
sayang, gembira dan berharap.